30 Disember 2011
Dadah, ponteng: 8 pegawai bomba dibuang kerja
KUALA TERENGGANU 29 Dis. - Lapan pegawai bomba di negeri ini dibuang kerja kerana kesalahan
tatatertib setelah terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan ponteng tugas.
Empat daripada mereka dibuang kerja dalam tempoh 11 bulan tahun ini manakala empat lagi sedang
dalam proses dikenakan tindakan serupa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini memberitahu, kesemua
pegawai lelaki itu berusia lingkungan 30-an dan ada di antara mereka didapati ponteng kerja selama
setahun.
Beliau memberitahu, pembabitan pegawai berkenaan dengan dadah mendorong mereka tidak hadir
bertugas selain melakukan kesalahan lain seperti kecuaian dan sebagainya.
"Mulanya, mereka ini terlibat dengan dadah yang kemudiannya menyebabkan mereka tidak datang
bertugas, ada yang sampai setahun tak datang kerja.
"Mengikut peraturan, kalau dua hari tak datang kerja, anggota atau pegawai dikehendaki buat
laporan, tapi dalam kes ini (buang kerja)," katanya selepas majlis Perhimpunan bulanan Jabatan
Bomba dan Penyelamat Terengganu, di sini hari ini.
Beliau memberi amaran jabatan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana
anggota atau pegawai yang terbabit dalam sebarang kegiatan negatif khususnya jenayah sehingga
menjejaskan imej pasukan itu.
Menurutnya, seluruh warga bomba sepatutnya berusaha meningkatkan prestasi demi masa depan
lebih cemerlang sekali gus menghindari daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menarik perhatian dalam tempoh Januari hingga November lalu,
statistik kebakaran mencatatkan penurunan iaitu 780 kes di negeri ini tahun ini berbanding 1,027 kes
dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagaimanapun jumlah kerugian (akibat kebakaran) meningkat iaitu RM21.7 juta tahun ini berbanding
RM13.2 juta tahun lalu," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan