Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 10 Ogos 2012

Dua Lelaki Nigeria Disyaki Pengedar Dadah Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Nigeria yang disyaki pengedar dadah ditahan di dalam sebuah kereta di Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor selepas polis menerima maklumat orang awam Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 30 hingga 32 tahun ditahan dalam kereta jenis Proton Saga, dipercayai cuba melarikan diri apabila polis menahan mereka setelah kunci kereta milik suspek dirampas.
"Bahagian Narkotik Subang Jaya, menerima maklumat pada 8.15 malam dan segera bertindak ke tempat kejadian dan hasil siasatan lanjut polis mendapati terdapat sebuah beg laptop berwarna hitam diletakkan di atas brek tangan dan didapati dalam beg tersebut terdapat dua beg plastik berlabel 'crystal' yang dipercayai syabu.
"Nilai rampasan 1,971.5 gram dianggarkan berjumlah kira-kira RM200,000," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya.
Polis juga turut merampas sebuah lagi beg plastik kecil dipercayai mengandungi syabu pada salah seorang suspek dan satu pemetik api berbentuk pistol yang telah disorok pada stokinnya.
"Kedua-dua suspek dipercayai pelajar kolej swasta tetapi siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua suspek memasuki negara sejak dua tahun lalu tanpa sebarang dokumen," katanya.
Pada sidang media yang sama Yahaya berkata sempena dengan sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, beliau meminta penduduk di sekitar kawasan Subang untuk mendaftarkan diri melalui laman web www.sjalert.com.my bagi memastikan rumah mereka berada dalam keadaan selamat ketika pulang ke kampung.
"Saya ingin menyeru orang awam untuk menyertai program ini. Kempen 'Balik Kampung' dilaksanakan setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kempen tersebut dilaksanakan bersama Komuniti SJ Alert di mana orang awam sekitar kawasan Subang Jaya, UEP Subang Jaya (USJ), Putra Heights dan Bandar Sunway boleh mendaftar melalui laman web SJ Alert ataupun di balai polis berhampiran," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan